Keheningan subuh membuatkan hatiku sendu, jiwaku terusik dengan keindahan ciptaan ilahi yang maha agung itu. Aku terus dibuai perasaan yang membawa aku terbang bersama memori lalu. Terbang bebas meneroka mimpi-mimpi yang bisa membuatkan aku tersenyum dan hiba, bagaikan tiada noktahnya namun siapalah aku untuk mengulang kembali segala memori yang bergelar sejarah dalam sebuah kehidupan. Semalam sudah berlalu pergi dan hari ini siapa yang tahu, esok masih jauh untuk ku ramal dalam kotak benakku. Aku biarkan diriku terus menggapai memori semalam sedangkan hari makin meninggi, ahh biarkanlah... manakan mampu untukku menahan sang suria dari menyimbahkan cahayanya, tak tercapai tanganku, tak tergalas olehku untuk menongkah pergerakan alam yang indah ini.
Aku masih disini, terus berlagu dalam hikayat yang kucipta sendiri. Dalam meliuk lentuk mengikut lagu, hatiku dibuai rasa hiba, tanpa kerelaanku sebutir permata yang beharga sekali bagiku telah mengalir keluar. Puas ku tahan, puas ku paksa untuknya berhenti namun ia tetap mengalir keluar sejernih embun di pagi hari. Jiwaku kacau, hatiku celaru, masihku ingat lagi dikeheningan malam itu sedang jasatku terpisah dari rohnya aku dikejutkan dengan tangisan yang mulanya kuanggap mimpi. Namun kugagahkan jua rohku untuk kembali sedar bersatu bersama jasatku, aku bingkas bangun mencari-cari dimanakah datangnya teriakan itu. Keindahan pekat malam itu menjadi saksi bagaimana terkesimanya diriku pabila dikhabarkan insan yang selama ini menatang aku bagai minyak yang penuh, telah pergi buat selamanya. Mustahil... itulah kata-kata yang terpacul dari mulutku, Benakku yang mamai tadi kembali segar, TIDAK! Masihku ingat lagi, tengahari itu tangan berkedut itulah yang melambai-lambai aku, senyuman manis dari bibir yang sudah dimamah usia itu terukir. Adakah senyuman itu yang terakhir buatku? Perginya hanya seketika,mahu melawat kekandanya yang mahu berangkat ke kota suci namun ia dusta sekali ,perginya untuk selamanya-lamanya.
Ku paksa hatiku untuk menerima segalanya, aku pasrah walau tanpa kerelaanku. Namun aku puas. Puas kerna aku sudah berjasa padanya, walaupun hanya sekelumit jasaku jika hendak dibandingkan apa yang aku terima. Bayangkan tika aku bersusah payah bangkit setelah gagal dalam ujian akademik ia sentiasa bersamaku, walaupun aku sering disindir saudara maraku. Aku terkedu tika aku mahu melangkah berjuang untuk spm ku ia meredah kepekatan malam bersama teksi tua itu semata-mata mahu menghantar air tawar buatku, agar aku tidak tewas lagi dalam ujian itu. Namun pengorbanan ia berbaloi kerna aku telah menghadiahkan dia pangkat 1 agriget 17 buatnya. Hatinya berlagu riang melonjak-lonjak tanpa kusedari bibir yang dimamah usia itu singgah dipipiku. Dialah yang pertama berlari memelukku setelah tawaran untukku melanjutkan pelajaran ke UNIVERSITI ku terima. Dialah juga menebalkan mukanya untuk meminjam kereta jiranku untuk menghantarku ke Kuala Lumpur, kerna akulah yang pertama baginya berjaya ke menara gading.Aku ingat lagi katanya "teksi tua nie tak mampu menghantarku". Masihku ku ingat lagi panas air mata kegembiraannya yang tumpah ke pipiku tika dia berlalu pergi meninggalkanku di kolej. Masih ku ingat lagi tika aku sakit dahulu dialah meredah hujan untuk menghantarku ke hospital, masih terasa lagi kehangatan rangkulanya memimpinku. Aku biarkan air mata ini untuk mengalir kerna aku tahu begitu besar pengorbanannya buatku.
Kini aku berasa terkilan kerna ia pergi sebelum sempat untuk melihat aku berjaya. Masih segar dalam mindaku kata-katanya. "nanti bila hang dah kerja boleh gi jalan-jalan naik keta hang, tak payah lagi naik teksi tua ni lagi" . Dia pergi sebelum sempat untuk merasai kelembutan kusyen keretaku, dia pergi sebelum sempat melihat aku menggenggam segulung kertas yang bisa membuatkan ia hiba. Segulung kertas yang bisa pengorbananya dihargai. Dia pergi sebelum aku bersedia untuk dia pergi...
Namun aku puas, dia pergi setelah kembali sihat sepenuhnya dari serangan angin ahmar yang menyerangnya. Aku puas cuti semesterku, di habiskan untuk menjaganya. Segar lagi dalam ingatanku semasa mengikuti kelas pemulihan bagi pertuturanya aku diajar menyebut vokal dengan betul aku turunkan ilmuku untuknya masih lagi terbayang senyuman tawa kecilnya tika aku mengajarnya menyebut huruf vokal itu. Ooo buka mulut luas-luas sebut o00. Dia ketawa melihatku sambil mengajukku. Tawa itulah yang menjadi pengubat laraku. Masihku ingat dalam kepayahan itu dia menelan ubat yang kupaksa makan itu. Masih segar lagi marahnya padaku tika aku mengeletek kakinya semasa kupicit seluruh badannya. Bukan niatku untuk mengeletek kakinya, hanya untuk menguji deria rasanya. pulih atau tidak? Segar lagi tika dia malu semasa aku menyuapkan nasi kemulutnya, malu kenapa perlu malu kataku? dengan jujur ia menbalas kan nie bulan puasa malu makan disuapkan oleh orang puasa. Aku tersenyum membalas tanpa mengatakan sesuatu. Merah mukanya tika aku membantunya untuk ketandas, aku jua yang menyiram seluruh badanya agar segar. Aku puas setelah sekian lama rutin ku bersamanya di hospital dia sudah bisa berjalan, sudah bisa berkata-kata. Syukur buat tuhan yang maha agung.
Semalam masih ku ingat lagi kata-katanya " lepas kenduri kefli ni dia nak ke rumah kakaknya diutara semenanjung" aku menganguk. Katanya lagi " hari ini nak jadi bos duduk dibelakang ". Aku terus membiarkan dia begitu walaupun agak ganjil perlakuannya. Dalam perjalanan itu dia meminta untuk memegang buah-buahan hantaran itu. Sambil melirik kereta memintas dia mengangkat buah anggur itu dan menayang-nayangkannya. Aneh sekali bisik hatiku. Dia meminta air berkabonat coca-cola yang selama ini tidak pernah menyinggah dikerongkongnya itu. "nanti tidak boleh minum dah " katanya. Semuanya pelik dan aku biarkan semua itu berlalu tanpa menyedari itu petanda. Aku sentiasa positif mungkin ia gembira setelah pulih.
Seminggu sebelum itu dia menyarungkan sepasang jubah putih lengkap berserban putih tika menghantar abang iparnya di perhentian bas. Tika itu aku tidak turut serta. Ibu memberitahuku cantik dan bersih melihat dia berpakaian sebegitu. Memang walaupun dia telah dimamah usia, kedut memenuhi wajahnya namun aura seri itu masih terpancar dari dirinya.
Kini ia tiada lagi, bagai mimpi buatku.Biarlah ia pergi dengan aman hanya doa yang wajib kukirim buatnya. Ku ingat lagi lancar kataku memberitahu, disana ia pergi, disanalah ia dikebumikan " Aku tak mahu menyiksanya semata-mata kerna mahu pusaranya dekat denganku sedangkan jasatnya bukan milikku. Agar pusaranya dekat denganku senang kukunjung, segar mewangi bunga mawar dihamparkan dipusaranya namun tiada ertinya kerana aku menyiksa jasatnya melalui 8 jam perjalanan. Bukankah wajib disegerakan pengkebumian itu? Aku masih waras ketika itu biarlah aku tidak dapat melihat wajahnya ketika dikebumikan biarkah aku tidak sempat mengucup dahinya buat kali terakhir bukan aku tak sayang padanya tapi aku tak mahu menyiksanya. Semata-mata untuk menungguku dia terbaring kaku disitu sedangkan rohnya meronta-ronta agar disegerakan pengkebumiannya. Aku biarkan dia pergi mungkin ada hikmahnya dengan aku tidak melihatnya buat kali terakhir aku makin dekat padanya. setiap hari doa kukirim setiap masa kehangatan kasihnya masih menjalar disetiap inci urat sarafku. Aku tidak dapat menafikannya namun aku pasrah dengan segala dugaan ini. Inilah dinamakan sebuah kehidupan. Tuhan lebih menyayanginya lebih dariku.
Al-fatihan buat Allahyarham Haji Zakaria Bin Sharif. Dia permata nilai sejati buatku. Semoga Allah menempatkan rohnya ditempat orang-orang yang beriman. Amin.
No comments:
Post a Comment